Terdapat dua perbezaan yang jelas di antara Novelis Pemula dan Novelis Otai. Novelis Pemula biasanya menulis untuk menunjukkan kebolehannya bercerita pada novelnya yang pertama. Dia mahu para pembaca mengenalinya sebagai seorang novelis yang berbakat.
Justeru, Novelis Pemula biasanya ‘outward looking’ iaitu menzahirkan dari dalam keluar; dari dirinya kepada pembaca. Dia asyik bercerita tanpa mengambil kira sangat apa yang pembaca mahu.
Yang lebih penting baginya ialah menyampai, meluah dan menghamburkan apa yang dia ada untuk mendapat perhatian.
Baginya, apabila dia mendapat perhatian, maka dia akan dikenali dan akhirnya popular.
Berbeza dengan Novelis Otai, oleh kerana pernah melahirkan novelnya yang pertama, dia lebih peka apa yang pembaca mahu berdasarkan sambutan ke atas novelnya sebelum itu. Dia juga telah melepaskan perasaannya yang terpendam selama ini dalam novelnya yang pertama.
Untuk novelnya yang kedua dan seterusnya, dia akan ‘inward looking’ atau melihat dari luar ke dalam. Pada setiap baris yang ditulisnya, dia mula peka dan mengagak apa reaksi pembaca terhadap apa yang diceritakannya.
Selain melahirkan ideanya, dia juga ingin memberi kepuasan kepada pembacanya. Biasanya Novelis Otai sudah ada beberapa orang peminat tegar. Sambil menulis, dia cuba mengagak apa reaksi peminat-peminat tegar terhadap karyanya.
Merekalah yang akan membantu Novelis Otai memilih jalur atau niche karyanya. Bila Novelis Otai dapat menulis dengan konsisten dia sudah ada pasaran pembacanya. Inilah yang menjadi asas kekuatan bagi seseorang Novelis Otai.
Pemikiran 'sekepala' para peminat tegarnya akan memberi tenaga seperti magnet yang akan menarik mereka yang belum mengenali Novelis Otai itu ~ semakin lama semakin ramai, semakin lama semakin ramai, semakin lama semakin ramai yang akan menjadi peminat Novelis Otai itu..