Immerse Cara Terbaik Untuk Belajar

ADA suatu niat yang saya pasak di dalam hati apabila mengambil keputusan untuk menyertai KLAB 2025 yang baru berlalu. Niat saya ialah hendak IMMERSE iaitu melibatkan diri secara menyeluruh untuk mempelajari sesuatu.

Immerse adalah kaedah yang amat berkesan dalam apa jua latihan. Ia tentunya lebih baik dari simulasi kerana pendekatan secara immerse ini memberi pengalaman semerta di mana tindakan hands-on dilakukan pada waktu real time.

Saya tercari  istilah immerse dalam Bahasa Melayu. Terjemahan langsung memberi jawapan immerse sebagai ‘menenggelamkan.’ Namun, saya cenderung untuk menterjemah immerse sebagai ‘menceburkan diri.’

Apabila saya meninggalkan syarikat penerbitan Alaf 21 pada 2009 untuk menyertai Sinar Harian, saya mula mengurangkan aktiviti saya dalam bidang perbukuan. Bila ke Pesta Buku, saya hanya singgah dan menjenguk. Saya jalan-jalan, beli buku dan balik.

Setelah berundur dari Sinar Harian untuk menyertai Malakat Mall pula, saya semakin jauh dari dunia perbukuan. Meskipun saya mengusahakan kedai Iqraread, tetapi ia sekadar menjual dan membeli buku. Lagi pula tugas utama di situ adalah menjaga operasi seluruh Malakat Mall.

Namun, bersama teman-teman aktivis buku, kami wujudkan Bookoo People. Tiga minggu sekali, kami anjurkan Sesi Buku & Kopi yang menghimpun para penulis untuk berbicara tentang buku.

Cuma sebenarnya, saya sekadar bermain di tepian, mengacah-acah di pinggiran. Ia tak sama kerana aktiviti buku sebenar ialah aktiviti hiliran bersama pembaca buku.

Julai 2024, Malakat Mall tutup. Tiga bulan seterusnya saya hibernate sambil mencongak apakah bidang yang saya mahu. Tidak lama saya berfikir, jawapannya tetap sama. Menulis. Saya mengasah pensil, memasukkan dakwat ke dalam pen dan saya mula menulis.

Maka lahirlah MENULIS SAMPAI JADI. Inilah buku yang saya tulis dengan memakai topi seorang novelis. Buku setebal 286 halaman ini menyentuh lebih 100 tajuk.

Selain topik elemen-elemen novel seperti Plot, Watak, Latar Tempat dan Masa, buku ini memberi jawapan kepada banyak persoalan untuk yang baru menulis.

Di antara tajuk-tajuk yang saya sentuh ialah, ‘Apa itu Wayang Minda?’ ‘Apa itu Jump-Cutting,’ Bermain Dengan Lima Pancaindera’ dan “Healing Dengan Menulis.’ Alhamdulilah, buku ini mendapat sambutan di KLAB.

Dari jauh saya perhati… mereka yang terpandang buku ini bagai terjumpa apa yang mereka cari! Barangkali ini juga buku yang anda cari-cari…

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *