APABILA membaca karya seseorang penulis, kita seolah-olah mengembara dan menyelami minda dan hatinya. Meskipun si penulis telah meninggal dunia, kita masih dapat belajar daripadanya.
Andainya sebuah buku karyanya dibaca, kita memperoleh sebahagian daripada pemikirannya. Sekiranya kita membaca dua atau tiga atau lebih buku karya seseorang penulis itu, tidakkah ia bererti kita memperoleh pemikiran si penulisnya?
BAYANGKAN, jika kita membaca Al-Muqqadimah karya Ilmu Khaldun, kita memahami ilmu falsafah sejarah daripadanya. Andainya kita membaca pula buku Roh, karya Ibnu Qayyim, seorang ilmuwan Islam, kita belajar mengenai roh daripadanya.
Buku Lateral Thinking oleh Edward de Bono, A Brief History of Time oleh Stephen Hawking, The Art of War oleh Sun Tse, adalah mengenai teknik berfikir, fizik dan seni peperangan.
Apakah maknanya apabila kita sudah membaca kesemua buku-buku ini? Ia bererti, di dalam diri kita sudah ada pemikiran Ibnu Khaldun, Ibnu Qayyim, Edward de Bono, Stephen Hawking dan Sun Tse setelah kita membaca buku-buku mereka.
Setakat ini, berapa buah bukukah yang kita telah baca? Andainya seratus buah oleh penulis yang berbeza, ia bererti, pendekatan pemikiran kita adalah rangkuman daripada pemikiran 100 orang manusia.
Bijakkah kita? Kita bijak jika kita berhati-hati memilih buku yang ingin dibaca. Andainya kita memilih karya-karya yang berisi dari penulis yang hebat, maka kita juga akan punyai pemikiran yang bijak.